Lusa (15/07/08), buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia kita bakal berpeluang menyaksikan satu pentas demokrasi dalam menerangkan dan memberi maklumat yang luas tentang sesuatu ISU negara buat rakyat Malaysia. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dan berbangga dengan dasar demokrasi berpelembagaan, maka sepatutnya suasana seumpama ini telah lama diamalkan dan dipaktiskan untuk manfaat dan kebaikan rakyat terbanyak.
Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bertemu Datuk Ahmad Shabery Chik (DASC) atau Paksi Pembangkang menentang Paksi Kerajaan. Pertama kali suasana kempen ala-demokarasi Obama vs Hillary dapat kita tonton menjelang esok malam. (Harap tidak berlaku sebarang halangan). Saya sebenarnya teruja dengan DEBAT ini. Sila baca tulisan yang baik dari En Arief Hakim tentang isu ini di sini.
Apa yang menariknya DEBAT ini?
Pertama, ia adalah peluang untuk rakyat mendapat maklumat dan pemikiran dari kedua-dua pemimpin yang mewakili paksi dokongan mereka. Selama ini media mainstream hanya condong menyiarkan maklumat dari pihak kerajaaan sahaja. Maka , semua dari kerajaan akan lebih mudah sampai kepada rakyat. Kita juga tidak pasti samada maklumat tersebut BENAR-BENAR memberi manfaat atau betul kepada rakyat. Kerana pihak yang satu lagi tidak dapat menggunakan media mainstream untuk menjelaskan maklumat mereka pada rakyat. Maka, bila peluang besar ini dibuka, manfaat keterbukaan ini akan dapat digunakan oleh rakyat untuk menilai sendiri apakah message yang disampaikan oleh kerajaan benar dan bagus untuk rakyat atau apakah yang ditawarkan oleh pembangkang adalah rasional dan praktikal.
Rakyat Malaysia sudah semakin berkembang mentaliti inteleknya. Maka, rakyat dapat memikirkan dan berfikir secara matang maklumat yang diberikan samada benar-benar praktikal atau retorik sahaja.
Keduanya, dan yang saya ingin kupas dengan mendalam di sini adalah dari sudut Sains Minda itu sendiri. Ramai orang mengakui yang DSAI adalah seorang pemidato yang besar. Beliau sudah digelar dengan pelbagai nama kesan dari kepintaran beliau berhujah dan berpidato. Dari zaman ABIM hingga ke UMNO dahulu, malahan hingga ke zaman tuntutan REFORMASI yang dibangkitkannya sehingga hari ini. Magnet tarikan karisma beliau mampu menarik penonton untuk hadir dalam bilangan puluhan ribu tanpa sebarang “umpan” material. Ucapan beliau boleh membangkitkan amarah dan semangat dari jiwa pendengar dengan hanya bahasa dan tonasi yang beliau gunakan itu. Dari sudut fizikalnya , DSAI memang seorang pemidato yang berkebolehan. TETAPI sebenarnya dari sudut sains mindanya , beliau adalah “MODEL” terbaik sebagai seorang pemidato yang “hipnotic” atau sangat “persuasif” di Malaysia.
DSAI mempunyai tonasi yang berirama, lenggok bahasa yang bergaya, bahasa yang “BERPENGARUH”, isi bahasa yang berelemenkan “emosi”, bahasa tubuh yang berkesan, dan renungan mata yang agak “tajam”. Ini melengkapi diri DSAI sebagai seorang PEMIDATO YANG MEMUKAU. Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai banyak cara dan elemen “hipnosis” yang melengkapi model “hipnotic” yang diajar di dalam kelas-kelas HIPNOSIS dan Neuro Lingkustik Programming (NLP) dalam kaedah sains minda.
DSAI diketahui mempunyai gaya “shakehand” yang berkesan, komunikasi “tanpa sedar” yang tepat, dapat memasuki gaya atau cara orang yang ada dihadap beliau dengan baik. (contohnya beliau boleh duduk bersila di rumah kayu orang melayu tanpa “canggung” semasa beliau menjadi TPM dahulu). Beliau menggunakan bahasa yang tepat untuk orang atau audien yang beliau hadapi. Tidak ramai pemimpin politik yang menggunakan bahasa rakyat yang betul seperti beliau. Ramai pemimpin yang berkelulusan tinggi memggunakan bahasa akademik atau bahasa universiti bila berceramah atau berkomunikasi dengan orang kampong atau orang melayu di pekan-pekan. Kerana itu mereka kelihatan agak jauh dengan orang di kampung-kampung atau di pekan-pekan. Berbeza dengan DSAI yang akan “merendahkan” gaya bahasa nya untuk “menakluki” audiennya. (Ini contoh “modeling” yang baik).
Bahasa “hipnotic” DSAI adalah yang sangat lengkap. Gaya bahasa yang digunakan dan dituturkan mempunyai banyak “bahasa atau perkataan yang berpengaruh”. (sila rujuk buku Prof Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohd. yang saya cadangkan pada artikel yang lepas untuk pengurai lanjut). Elemen hipnotic-nya sangat ketara. Pengulangkan PERKATAAN (contoh: lawan tetap lawan) adalah salah satu elemen hipnosis yang digunakan dengan sangat berkesan oleh beliau. Bahasa arahan dan bahasa berkuasa beliau juga kerap digunakan menyebabkan beliau dipandang sangat berkarismatik. Sebutan huruf melayu beliau (gaya Sukarno dengan getaran konsonan huruf-R yang jelas) menambahkan rencah dalam pidato beliau. Sebenarnya banyak lagi analisis yang berguna dapat dilihat untuk kita mengenali model ucapan yang berhipnotic dalam gaya ucapan DSAI.
Maka, DEBAT yang berlangsung lusa sangat seronok kita ikuti. Saya agak terkejut dengan keputusan kerajaan membenarkan debat dengan DSAI ini dijalankan secara langsung di TV3. Walaupun tajuk yang akan dibahaskan dilihat untuk “menyerang” DSAI- “Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak”- tetapi harus diingat yang gaya “hipnotic’ yang ada pada DSAI boleh memukau ramai audien yang menontonnya.
Bayangkan, berapa ramai orang (terutamanya pekerja-pekerja kerajaaan) yang sebelum ini takut hadir dalam ceramah-ceramah anjuran pembangkang, tetapi nanti boleh mendengar sendiri hujahan-hujahan secara terus dari DSAI dari skrin TV di rumah sambil minum air kopi (tak payah risau tentang FRU atau roadblock Polis). Sudah pasti maklumat dari DASC yang mewakili kerajaan sudah acapkali kita dengar dan dihuraikan sebelum ini. Walau kerajaan mempunyai cukup maklumat untuk mematahkan hujahan dari Paksi Pembangkang itu, harus diingat, dalam psikologi manusia elemen EMOSI adalah pengaruh terkuat yang menguasai minda masyarakat Malaysia terutamanya orang melayu. Dan DSAI adalah antara orang yang mempunyai kemampuan menyentuh elemen emosi melalui gaya pidatonya dengan cepat dan berkesan.
Saya tidak pernah melihat gaya DASC berbahas atau berpidato. Kekuatan angka dan data selalunya akan hilang bila aksi secara “live” ditontonkan. Malahan jika kekuatan angka dan data menjadi pengaruh kuat, sepatutnya Datuk Seri Najib Tun Razak (PM-in Waiting) adalah orang yang sepatutnya berdepan dengan DSAI. Tetapi adalah Datuk Seri Najib boleh mematahkan gaya dan hujahan dari “The Hipnotic-Man” ?
AMAR MAHMOOD


Ya, tak sabar menanti tanggal 15/7 ni. Bukan apa, dah tahu dah gaya berhujah anwar, cuma nak tengok sejauh mana kehebatan menteri penerangan tu berhujah. Menarik sekali adalah isu yang dibawa… Hmmm, tapi menteri penerangan tu macam dah tau akan kalah dalam berhujah… cuma yang buat dia tetap nak berdebat juga mungkin sebab egonya yang melambung. Dia pertaruhkan maruah dia selaku menteri penerangan.
Pada pandangan sayalah, mengapa DASC nak berdebat sangat dgn DSAI sebab dia pung tau, dia tak mampu nak pikul tanggungjawab di Kementerian Penerangan tu… lihat sajalah dah 100 hari dia di situ, RTM masih tak mampu menandingi stesen TV lain…apatah lagi Prog. Beritanya. Tok Nenek kat kampung pung tak nak tengok dah.
Awal-awal lagi dia dah kabo, kalau dia kalah, minta PM cari Menteri Penerangan yg lain…. apa punya menteri la ni,malang sungguh Malaysiaku.
Sepatutnye DASC mempertaruhkan keahliannya dlm Ameno.Jika dia kalah berhujah, maka gugurlah keahliannya, dan akan mengikut jejak Anwar.Ini baru jantan!
kepada abdul riza dan luth jagan hanya pandai mengomen saje tanpa mengetahui kebenaran yang sepatutnya .isu minyak yang diutarakan hanya untuk mengelirukan rakyat supaya menyokong pembangkag, tetapi sebenarnya pembangkang sendiri tidak mampu untuk menyelasaikan kemelut kenaikan harga minyak sekarang ini .adakah selepas anuar dapat menjadi pm masalah ini akan selesai ????/same same lah kite nantikan
Kepada ghost,
Jangan lupa mengundi Anwar pada pilihan raya akan datang. Cakap banyak tak guna.
haha..
majulah INSAN utk negara & agama..