Suasana politik sempena kempen pilihanraya di Manik Urai mengamit saya untuk memberi pandangan perbadi . Sebagai seorang Jurulatih dalam bidang pembangunan diri yang berasaskan kecerdasan IQ, EQ dan SQ, saya melihat pertembungan calon yang bertanding kali ini adalah berdasarkan pertembungan pesonaliti yang mempunyai dua ciri utama iaitu berlandaskan Kecerdasan Intelek (IQ) dan yang satu lagi berasaskan Kecerdasan Emosi (EQ).
Polimik yang berlangsung adalah kerana Calon BN iaitu Tuan Aziz Tuan Mat yang merupakan seorang Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan selatan (Kesedar) yang dikatakan mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi berbanding Calon PAS iaitu Fauzi Abdullah atau dikenali sebagai ‘Abe Uji’ yang merupakan seorang peraih dan pemborong Ikan di Kelantan. Isu pesonaliti ini menjadi pertaruhan akibat kematian Ismail Yaacob atau dipanggil ‘Pak Su Weil’ yang dikatakan seorang pemimpin yang mempunyai ciri pemimpin yang mementingkan kebajikan dan boleh duduk sama dengan penduduk-penduduk di Manik Urai.
“..Kesimpulannya kini, baik Pas maupun UBN mereka harus mencari seorang calon yang mirip Pak Su Wil. Walapun sekolah tidak tinggi tetapi mempunyai hubungan mesra dengan rakyat. Yang dapat duduk di kedai-kedai kopi, sembahyang berjemaah di surau dan masjid, menyelesaikan masalah rakyat tidak kira siang dan malam, bertindak menjadi penghulu, keretanya dijadikan ambulan, atau private sapu dan rajin menziarahi orang sakit dan orang mati serta pandai mengambil hati anak-anak muda. Itulah wajah wakil rakyat yang diminati di Manik Urai.
Kelulusan, profesional atau ahli pidota, kaya, bangasawan, berkereta besar berbini banyak, mungkin tidak menjadi perhatian kepada masyarakat Manik Urai. Mereka yang rata-rata merupakan pendatang memenuhi tanah rancangan, lebih memberi tumpuan kepada perpaduan dan keintiman hubungan sesama sendiri.”
Mohd Sayuti Omar –Penganalisis Politik (msomelayu.blogspot.com)
IQ adalah kecerdasan yang berdasarkan pada kecerdasan kepintaran atau kebijaksanaan yang diukur melalui pencapai akademik. Manakala EQ yang kini semakin berkembang pesat dalam sektor pembangunan diri adalah istilah yang menerangkan individu yang memahami emosi sendiri, kebolehan mengendalikan emosi, memotivasikan diri, menyedari emosi orang lain dan mengendalikan hubungan silaturahim dengan orang lain. Terdapat enam domain utama EQ yang diterjemahkan oleh Mayer dan Solovey (1993) iaitu Kesedaran Kendiri, Mengendalikan Emosi, Empati, Berhubung, Kerjasama dan Menyelesaikan Konflik.
Di dalam buku Terkenal “Emotional Intellingence” oleh David Goleman (1995) mengatakan 80% kejayaan seseorang bergantung pada EQ atau kecerdasan emosinya berbanding dengan cuma lebih kurang 20% sahaja yang disebabkan oleh IQ atau kecerdasan Inteleknya. Pendapat ini sejajar dengan pandangan yang mengatakan kita memerlukan lebih daripada kecerdasan otak (IQ) supaya lebih berjaya dalam hidup.
Antara kajian terkenal yang dijalankan oleh Mayer mendapati mereka yang mempunyai tahap IQ yang tinggi, tidak semua mencapai kejayaan yang cemerlang sama ada dalam kerjaya mereka, mahupun dalam kehidupan peribadai masing-masing. Sebaliknya individu yang mempunyai EQ yang tinggi memperlihatkan pencapaian kehidupan yang lebih tinggi terutamanya melibatkan bidang kepimpinan.
Jika IQ sangat terkenal sebelum tahun 1990an, selepas tempoh tersebut istilah EQ mula menjadi kecerdasan yang diberi perhatian besar oleh pelbagai pihak . Pemimpin politik yang baik dan diterima ramai adalah pemimpin yang selalunya mempunyai tahap EQ tinggi di samping mempunyai kecerdasan intelek yang baik.
Apatah lagi di dalam skop pertembungan pesonaliti di Manik Urai di mana pesonaliti Allahyarham Pak Su Weil yang sebenarnya sangat dominan EQ-nya. Dari cerita dan informasi yang mudah diperolehi di kebanyakan media, jelas pesonaliti Pak Su Weil yang diceritakan memenuhi kriteria seorang pemimpin yang mempunyai tahap EQ yang tinggi. Apatah lagi bagi penduduk kampung dan pendalaman seperti Manik Urai, ciri-ciri kepimpinan yang berlandaskan EQ memang menjadi tarikan dan keutamaan bagi seorang pemimpin. Kerana itu adalah tidak menghairankan apabila Abe Uji dipilih sebagai calon PAS untuk mengantikan Pak Su Weil. Ini mengambarkan proses “mirrioring and matching” yang dilakukan oleh Pemimpin Tinggi PAS bagi memenuhi kehendakan penduduk Manik Urai itu sendiri.
Pemimpin yang baik dan disukai oleh rakyat adalah mereka yang mempunyai EQ yang tinggi. Ini kerana pemimpin tersebut lebih mudah memahami kehendak rakyat, menyelami perasaan mereka dan bijak menangani konflik dan membentuk hubungan yang akrab. Kerana itu Allahyarham Pak Su Weil sangat diingati oleh penduduk Manik Urai kerana kebijaksanaan EQ Allahyarham bukan kerana IQ-nya.
Di dalam pilihan rayakecil kali ini , sangat jelas kedua-dua calon adalah berlandaskan pemimpin yang bercirikan IQ dan seorang lagi lebih cerdas EQ-nya. Bagaimanapun di dalam politik yang serba kompleks, faktor-faktor lain turut akan mempengaruhi keputusan penduduk dalam menentukan undi mereka.
Jadi, siapa calon pilihan penduduk Manik Urai kali ini?
AMAR MAHMOOD
Jurulatih Pembangunan Minda
www.amarmahmood.com